Iktibar dari IKEA

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Pada hari Sabtu yang lepas, kawan serumah mengajak saya untuk pergi ke salah sebuah pusat jualan perabot terkenal iaitu IKEA yang terletak di bandar Freiburg, selatan Jerman. Beliau mengajak saya kerana beliau mahu membeli karpet dan juga rak buku. Saya juga teringin mahu membeli rak buku memandangkan buku saya kini sedang subur membiak.

Kami bergerak pada pukul 11.30 tengah hari. Dan saya juga mengajak salah seorang senior kami yang jauh lebih lama telah duduk di Jerman. Kami menaiki keretapi dan perjalanan mengambil masa hanya 1 jam 50 minit.

* * *


Setibanya di bandar Freiburg, kami singgah makan terlebih dahulu. Nasib kami baik kerana di situ terdapat kedai yang menjual daging kambing dan ayam yang halal. Sangat sedap. Kemudian kami menyambung perjalanan ke IKEA dengan menaiki bas.

1. Perjalanan yang teratur

Yang saya maksudkan di sini bukanlah perjalanan saya, tetapi perjalanan yang perlu anda lalui bilamana anda masuk ke dalam bangunan IKEA tersebut. Anda akan dapat melihat seluruh kompleks kedai tersebut dengan lancar kerana anda dipandu oleh anak panah yang terlekat di lantai. Dan ini memastikan anda melihat semua barang yang ada.

" Eh, baguskan mereka buat jalan sepert ini " ujarku kepada kawanku.

" Mereka mahu kita habis duit, memanglah " seloroh beliau.

2. Bersungguh-sungguh

Mereka menunjukkan 'sample' mereka dengan bersungguh-sungguh. Sebagai contoh mudah, hiasan di ruang tamu yang punyai rak buku, mereka meletakkan buku yang benar, walau terpaksa gunakan buku yang banyak. Saya tertarik dengan satu konsep ruangan bilik anak kecil. Katil dua tingkat dan di bawah terdapat meja belajar anak-anak. Mereka juga meletakkan mesin pencetak yang sebenar ! Kesungguhan mereka menampilkan corak hiasan itu berjaya mencairkan hati saya.
Sabda Rasulullah s.a.w, ‘Sesungguhnya Allah s.w.t menyukai apabila seseorang kamu bekerja dan melakukan pekerjaan itu dengan tekun.’ (Riwayat Abu Daud).

3.  Mengajar berdikari dan jujur

Untuk barang-barang yang tertentu, anda perlu mengambil nombor sirinya terlebih dahulu dan kemudian baru mengambilnya di gudang, iaitu bahagian terakhir perjalanan anda. Gudang itu tersangatlah besar, dan anda hanya perlu rujuk kembali nombor siri tersebut kerana gudang sangat tersusun.

Jujur hadir bilamana anda perlu 'scan' dan bayar barang anda sendiri. Ya, ada penjaga yang berada di situ tetapi tugas mereka hanyalah untuk bantu anda jika anda punyai masalah ketika proses pembayaran berlangsung. Anda boleh sahaja menipu jika anda mahu kerana tiada siapa tahu melainkan Dia.

"Beruntung bagi mereka yang berfikir"

Kemudian kami pulang ke rumah dengan perasaan yang kecewa kerana barang yang mahu dibeli agak berat untuk dibawa balik menaiki bas dan keretapi. InsyaAllah, jika ada rezeki di lain hari, kami datang menaiki kereta sewa.

Semoga esok lebih baik dari hari ini. 

0 Kommentare:

Kommentar veröffentlichen

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...