Petang itu aku rasa tidak bersemangat. Sedikit 'down' rasanya dalam perjalanan hidup ini. Kadang-kala mahu sahaja minta Allah ambil nyawa diri ini cepat. Apakan daya, tanggungjawab masih banyak belum terlaksana.
Petang itu hujan renyai. Ibu pula baru balik dari berniaga. Aku seperti biasa membuka notebook dan melayani Fb. Hari ini hari jumaat, banyak nasihat dan ajakan yang baik yang tertulis di muka buku. Semua sahabat-sahabatku hebat-hebat belaka.
* * *
Pulang dari solat isyak di masjid, aku terus masuk ke dalam bilikku. Ibu sudah lama tidur, seperti biasa kerana ibu bangun awal pagi. Lantas aku terus online kembali. Dan sesuatu yang tidak diduga berlaku. Aku lihat sahabatku memuat naik gambar sarwah yang lain dan dia menulis 'al-fatihah'.
Aku jadi marah. Aku jadi bingung. Aku terus menelefon sahabatku itu, Naufal.
" Apa yang jadi ini ? " Bentakku sambil menangis. Sahabatku itu pun terus memujuk aku sambil dia pun turut menangis.
* * *
Teringat kembali kisah lama, dia seorang antara sahabat baikku. Pernah suatu hari, aku hampir dipukul oleh budak-budak nakal, dek kerana aku memberitahu cikgu kegiatan salah seorang ketua mereka yang 'dating' di kawasan sekolah. Kami baru tingkatan 2 ketika itu, badan semua masih comel-comel belaka. Hari itu aku ditarik oleh kumpulan mereka, ketika kami pulang dari solat jumaat bersama sahabat-sahabatku yang lain,dan arwah Ahmad Fuad menarik aku kembali. Sungguh, di saat itu hati ini terasa sungguh terharu.
Di sekolah dulu, kami juga sering bersama, cuma kadang-kala aku suka mengasingkan diri kerana mahu belajar kononnya. Arwah orang yang baik, suka tegur menegur sahabat-sahabat yang lain. Cuma bila aku pindah ke SMAP Labu ketika tingkatan4, hubungan kami jadi agak renggang.