Syoknya WWE !

Baru-baru ini video RKO ataupun dikenali sebagai Randy Orton menjadi 'viral' di laman media sosial. Ianya kelihatan agak lawak kerana RKO muncul secara tiba-tiba dan terus 'smack down' orang yang terjatuh (dengan sendiri sebenarnya). Video ini agak lawak, walaupun jelas kelihatan diubah suai oleh pihak tertentu demi gurauan semata.

Jadi aku dengan tidak semena terimbau kisah silam diwaktu kecil, bagaimana aku dahulu amat gemar menonton rancangan ini (WWE).

" Aku dahulu tahu benda ini tipu. Bajet matang kan. Kau tahu tak macam mana cara dia boleh berdarah kepala? " ujar salah seorang sahabatku.

" Aku tahu juga yang mereka memang berlakon. Tapi aku tetap suka menonton" jawabku selamba.

* * *



WWE atau nama penuhnya World Wrestling Entertainment pada waktu dahulu dikenali sebagai WWF (World Wrestling Federation bukan World Wide Fun for Nature) ditubuhkan pada 21 Februari 1980 di Amerika Syarikat.

Tujuan aku menulis bukanlah mahu bercerita tentang asal-usul dan sejarah WWE ini tetapi lebih kepada iktibar yang kita dapat dari menonton WWE (walaupun anda tidak digalakkan menonton sebenarnya)

"Apa ? Ada iktibar ? " Mungkin ada yang akan berkata sedimikian.

Berikut merupakan sedikit ikhtiar yang saya dapat fikirkan.

1. Semuanya adalah lakonan.

Aku tahu anda semua tahu bahawa ini semua lakonan semata. Tapi sedarkah anda bahawa hidup kita juga adalah lakonan semata. Ini bukan berpura-pura atau munafik, tapi memang hakikat kehidupan kita, kita adalah pelakon. Allah maha melihat segala-galanya, tiada yang terlepas dari pandangannya. Dan di akhirat nanti segala yang kita lakukan akan dipertontonkan di khlayak ramai.

Seperti dalam pertandingan gusti ini juga, walaupun mereka berlakon, tetapi mereka tetap terasa sakit dan pedihnya bila berada dia atas pentas perlawanan tersebut. Tipulah kalau tak sakit muka dihentak oleh kerusi besi.

Hidup ini sakit untuk kita terus berlakon. Kadang-kala kita perlu berlakon yang kita ini kuat, terus cuba senyum walau sebenarnya hati kita perit dilanda sedih.

Gambar sekadar hiasan 


2. Segala-galanya telah diaturkan

Jika anda perasan dalam rancangan ini, biasanya mereka akan menangkan ahli gusti yang boleh menjadi 'icon' atau model kepada rancangan ini berbanding beri kemenangan kepada yang tiada rupa walaupun jauh lebih kuat. Sebagai contoh, big show adalah jauh lebih kuat dan besar berbanding dengan the rock, tapi oleh kerana lebih ramai meminatinya (mungkin kerana tubuhnya yang jauh lebih sasa) maka kemenagan akan diberikan kepada the rock.

Dalam kehidupan kita, kita ada takdir yang boleh diubah dan tidak boleh diubah. Antara yang tidak boleh diubah adalah rezeki, jodoh dan kematian. Tetapi yang lain boleh diubah dengan usaha , doa dan tawakal. Begitu juga dalam perlawanan tadi, walau big show diarahkan untuk kalah, tapi dia boleh memilih cara untuk dia kalah. Sama ada dalam kesakitan yang teramat, atau berpura-pura sakit.

3. Tidak adil

Sewaktu kecil dahulu, aku sangat sakit hati bilamana ahli gusti yang aku amat suka tidak menang. Lagi menyakitkan bilamana perlawanan berlaku secara tidak adil seperti ada serang hendap, 2 lawan 1 dan sebagainya. Walaupun itu semua lakonan, tapi hati ini tetap berasa tidak puas hati.

Begitulah hidup ini. Kadang terasa memang tidak adil atas segala benda yang berlaku dalam hidup kita. Ya, dunia memang tidak adil. Kerana itu kita perlukan hari pembalasan. Masakan orang yang telah membunuh 300 000 manusia denga cara yang paling kejam dan dia hanya menerima hukuman gantung ! Bohong jika anda kata hukuman itu memadai andai kata ada orang yang anda sayang turut terbunuh oleh tangan si kejam itu.

 Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!  Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (99 : 6-7)
* * *

Ini adalah sedikit sebanyak ilham yang Allah kurniakan kepadaku untuk menulis. Walau apa pun, saya tidak galakkan anda menonton rancangan ini (kerana tidak menutup aurat kecuali john cena), dan ini adalah apa yang saya mahu kongsikan kepada anda semua.

Semoga hari esok lebih baik dari hari ini.




0 Kommentare:

Kommentar veröffentlichen

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...