Kenapa ...

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

1) Jika Islam itu benar
Kenapa tetap ada yang ingkar

.: Itulah ujian buat sang manusia. Dihantar ujian untuk memastikan yang mana benar-benar beriman dan layak mendapat syurganya. Ambil analogi mudah, kenapa peraturan yang ada masih ada manusia yang melanggarnya ? Kebenaran pada Islam tetapi kecacatan pada penganutnya. Mana mungkin salahkan kereta mewah dan mahal yang mengalami kemalangan ? Sudah tentu pada pemandunya.


"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?"(29 :2)

2) Jika Islam itu mulia
Kenapa tetap ada yang menghina

.: Tidak usah pelik. Orang yang baik hari ini pun difitnah. Kemuliaan terletak pada Islam. Kehinaan bagi yang mengetahui kebenaran tetapi sengaja menyembunyikannnya. Tetapi jika ada yang menghina perbuatan muslim yang tidak betul, maka itu salah orang Islam dan bukannya salah islam. 

"Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: "Ini ialah dari sisi Allah", supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu. "(2:79)

3) Jika Islam itu indah
Kenapa tetap ada yang hatinya gundah

Jika Islam itu mudah
Kenapa tetap ada yang berasa susah

Jika Islam itu bahagia
Kenapa tetap ada yang terluka

Jika Islam itu berkat
Kenapa tetap ada yang melarat

.: Sebenarnya jawapannya sama, berbalik kepada soalan yang pertama. Islam itu bukanlah agama yang magik. Tetapi Islam itu adalah panduan untuk manusia. Kejayaan yang diusahakan perlulah dari tangan manusia itu sendiri. Itulah aturan alam (sunnatullah) yang dicipta oleh Allah. Siapa yang berusaha, dia pasti akan dapat. Andai kata manusia tidak perlu berusaha, apa gunanya kehidupan di dunia ini ?

Susah, gundah-gulana, terluka, itu semua perasaan yang perlu diakui oleh insan, jika tidak, apa bezanya kita dengan manusia yang sakit jiwa. Orang yang sakit jiwa memang gembira sepanjang masa. Islam itu untuk manusia, bukannya untuk haiwan. Dan tujuan manusia adalah untuk mentadbir bumi, dan semestinya menggunakan kuasa manusia, bukan kuasa Tuhan.

"Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya);Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa;  Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)."(91:7-10)

4) Jika Islam itu merdeka
Kenapa tetap ada yang diperhamba

.: Saya yakin, maksud 'diperhamba' di sini adalah jiwa yang rasa keluh kesah walau selepas menganuti Islam. Saudara, yakinlah, dengan mengingati tuhan (zikir) hati akan menjadi tenang. Dunia seolah-olah tiada apa kerana kita yakin, segalanya milik si Dia dan kepada Dia kita akan kembali. Zikir di sini bermaksud memikirkan keajaiban dan keindahan ciptaanya, yang seterusnya melatih kita untuk melihat, mendengar dan berfikir. Barangsiapa berfikir dan mencari, maka dia akan dapat apa yang diusahakannya.

"(Iaitu) orang yang beriman dan tenteram hatinya dengan mengingati Allah dengan mengingati ALLAH SWT. Ingatlah (bahawa) dengan mengingati ALLAH SWT itu, tenteramlah segala hati." (13: 28).

5) Jika Islam itu rahmat
Kenapa tetap ada yang dilaknat

Jika Islam itu saksama
Kenapa tetap ada yang teraniaya

.: Islam itu rahmat sekalian alam. Dan yang saya fahami dilaknat di sini merujuk kepada si Iblis. Mana mungkin yang ingkar tidak mendapat balasan ? Iblis ingkar untuk sujud (hormat) kepada nabi Adam a.s sedangkan itu perintah dari yang Maha Esa. Zaman hari ini, siapa yang tidak bayar pinjaman (loan) juga akan disenaraihitamkan. Jadi, apa yang pelik ? Dan Allah tidak kejam, pintu taubat sentiasa terbuka bagi yang mahu bertaubat.

Lihat kembali pada sejarah, sewaktu pemerintahan Saidina Umar Abdul Aziz sebagai contoh, tiada yang layak mendapat zakat dek kerana adil dan saksamanya pemerintahan baginda sewaktu itu hingga tiada orang miskin. Boleh dikatakan pada hari ini pemerintahan Islam yang sebenar itu tiada. Tetapi perjalanan menuju ke arah itu sedang giat diusahakan.

6) Jika Islam itu amanat
Kenapa tetap ada yang khianat

.: Yang khianat itu adalah manusia. Kerana harta, wanita dan pangkat, agama itu sanggup dijadikan bahan.

"Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang bathil, dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui"(2:88)

7) Jika Islam itu keamanan
Kenapa tetap ada kaitannya dengan peperangan

.: "Retaliate not equal to violance". Contoh mudah, orang datang menyerang rumah kita, mana mungkin kita hanya berdiam diri ? Sudah pasti kita akan mempertahankannya. Adakah Islam disebarkan semata-mata hanya dengan peperangan ? Lihat dunia hari ini, agama yang paling cepat tersebar adalah Islam, peperangan yang mana orang Islam terlibat dan menang ?

"Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan)"(22:39)

8) Jika Islam itu persaudaraan
Kenapa tetap ada dalam umatnya perpecahan

.: Sama sekali tidak ada perbezaan pendapat tentang akidah sesama umat Islam. Adapun perbezaan pendapat tentang perlaksanaan syariat dan itupun kerana perbezaan dari segi pemahaman. Bahkan Islam selalu menganjurkan supaya bersatu atas dasar akidah tauhid yang benar kepada Allah Tuhan yang esa. 

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya."(3:103)

Jangan pelik jika hari ini umat Islam berbelah, jika masing-masing tidak kembali kepada Quran dan Sunnah.

"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya"(4:59)

9) Jika Islam itu satu-satunya
Kenapa tetap ada yang beragama selainnya

.: "Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab Neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya)."(2:213)

10) Jika Islam membawa syurga
Kenapa tetap ada yang takdirnya neraka

.: Andai hari ini ada seorang pembunuh yang telah merogol adik perempaun/ibu kamu, adakah kamu sanggup jika dia dibebaskan tanpa mendapat balasan ? Adakah cukup dengan penjara di dunia yang tidak mungkin dapat mengembalikan kehormatan mereka ?

Andai seorang ibu memberi amaran kepada anaknya supaya tidak berbuat jahat, adakah si ibu itu kejam ? Bukankah galakan dan amaran itu adalah satu bentuk pasangan yang tidak boleh dipisahkan dalam usaha untuk mendidik ?




11) Jika Islam itu nyata
Kenapa tetap ada ironi pada realitinya

.: Islam tidak berbeza dengan realitinya. Hanya yang memahami akan mengerti. Hanya yang mencari akan memahami. Hanya yang berilmu akan mencari.

"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)"(96:1)

p/s : Terima kasih sudi membaca, jika ada persoalan, tanyalah diruang komen. Sungguh, jawapan hanyalah dari manusia biasa, ampun salah dan silap andai tersalah bicara.

wallahualam

0 Kommentare:

Kommentar veröffentlichen

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...